Terumbu karang ialah satu ekosistem marin yang unik, kompleks
dan tinggi produktivitinya. Terumbu karang telah wujud sejak beribu
tahun, malah berjuta tahun dahulu dan terbina daripada
organisma-organisma yang sangat kecil saiznya. Kebanyakan terumbu karang
yang tua telah wujud sejak 25 juta tahun dahulu. Hanya di kawasan
terumbu karang kita boleh menjumpai organisma yang telah melalui evolusi
selama berjuta tahun.
Dari segi pengelasan saintifik, organisma yang membentuk terumbu karang adalah daripada famili Cnidari, termasuklah karang laut (corals), sea anemone, obor-obor, hydra dan sebagainya. Di bawah famili Cnidari, karang laut
pula dikelaskan kepada tiga subkelas, Octocorallia, Zoantharia dan
Tabulata (koloni karang yang telah pupus). Subkelas Octocorallia terdiri
daripada ‘gorgonian coral’, sea pensies, organ-pipe corals dan karang
lembut (soft coral). Subkelas ini dikenal pasti daripada tentakel lapan
pinat dan kebanyakannya adalah berkoloni manakala subkelas Zooantharia
pula membentuk karang keras (hard coral) dan wujud berkoloni atau secara
individu.
Batu karang menjadi tuan rumah kepada sejenis organisma karnivor yang
disebut sebagai polip. Satu koloni batu karang boleh mengandungi ribuan
polip yang menghasilkan kalsium karbonat dan seterusnya membina
struktur batu karang. Batu karang adalah sumber produktiviti primer di
komuniti terumbu karang hasil daripada simbiosis antara batu karang
dengan sejenis alga satu-sel, Zoozanthellae. Alga berwarna perang
kekuningan ini membekal nutrien yang diperlukan untuk proses tumbesaran
batu karang pada kadar yang sesuai untuk pembinaan terumbu karang. Oleh
itu, komuniti alga ini membekal kepada batu karang sumber makanan (dalam
bentuk produk fotosintesis) dan pada masa masa yang sama batu karang
pula menyediakan perlindungan serta akses kepada sumber cahaya matahari kepada zooxanthellae ini.
Kebanyakan karang laut yang membentuk terumbu karang dijumpai pada kedalaman kurang daripada 46 meter,
yang boleh ditembusi cahaya matahari. Cahaya matahari adalah penting di
dalam ekosistem terumbu karang bagi menjamin pertumbuhan karang laut
dan alga mikroskopik (hidup dalam tisu-tisu polip) yang bersimbiosis.
Jenis karang keras hadir di kebanyakan tisu karang laut dan tugasnya
adalah menyediakan makanan kepada karang melalui hasil fotosintesis,
membersihkan karang daripada pengumpulan bahan kimia dan sebatian
nitrat.
Terumbu karang membesar dengan cepat di dalam air
yang jernih dan ditembusi oleh cahaya matahari. Terumbu karng hidup
subur pada suhu 20 °C hingga 28 °C. Selain daripada mendapatkan makanan
melalui hasil fotosintesis, zooxanthellea dan karang laut juga menangkap
zooplankton
dengan menggunakan tentakel polip dan ia juga boleh menyerap sebatian
organik yang larut di dalam air sebagai sumber makanannya. Kebanyakan
karang laut makan pada waktu malam kerana zooplankton bergerak pada
waktu malam. Hal ini juga adalah kerana tentakel polip yang tersembunyi
pada siang hari dapat mengelakkan karang laut menjadi mangsa kepada haiwan lain, dan melindungi diri daripada ultra-violet.
Terumbu karang juga didapati membesar dengan cepat di kawasan tindak balas ombak yang kuat. Ombak
membawa makanan, nutrien, menyebarkan larva karang laut, dan menghalang
pemendapan sedimen pada terumbu karang. Presipitasi kalsium adalah
penting dalam membentuk rangka polip karang keras. Proses ini berlaku
pada suhu dan saliniti air laut yang tinggi dan kepekatan karbon dioksida yang rendah. Kebanyakan karang laut memilih permukaan yang keras untuk tumbesarannya.
Antara kepentingan terumbu karang ialah bertindak sebagai benteng dan
perlindungan pantai terhadap ombak yang kuat. Terumbu karang juga
menyediakan kawasan yang selamat dan penuh dengan makanan untuk
tumbesaran anak-anak ikan.
Terumbu karang juga merupakan kawasan yang kaya dengan makanan dan
perlindungan kepada pelbagai spesies hidupan marin. Selain daripada
menyediakan peluang pekerjaan melalui aktiviti perikanan dan
pelancongan, terumbu karang juga dipercayai dapat dijadikan ubat untuk
melawan penyakit Barah. Sehubungan itu, adalah penting bagi kita memelihara kawasan perairan dan hidupan akuatik.
Walau bagaimanapun, tindakan manusia
boleh merosakkan terumbu karang. Kegiatan manusia misalnya perhotelan,
menangkap ikan dan sebagainya boleh menyebabkan air tercemar. Sebagai
contoh tumpahan minyak dan penggunaan pukat tunda. Penggunaan bahan letupan untuk mengebom ikan juga boleh merosakkan kawasan terumbu karang. Apabila kapal dilabuhkan pada pantai, ini juga merupakan salah satu sebab terumbu karang rosak.
Bagi mengurangkan kesan aktiviti manusia yang boleh menyebabkan
kemusnahan terumbu karang, kerajaan dan pihak berkuasa tempatan telah
menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan. Kerajaan telah mewartakan
kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai terumbu karang sebagai
Taman Marin, iaitu pulau yang dilindungi. Sekiranya terumbu karang
musnah, masa yang lama diperlukan untuk terumbu karang tumbuh semula.
Terumbu karang juga berfungsi sebagai kawasan sumber makanan yang tinggi
produktivitinya serta tempat perlindungan kepada pelbagai jenis ikan
dan invertebrata.
Sabtu, 27 Juli 2013
Langganan:
Posting Komentar (Atom)





0 komentar:
Posting Komentar